Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Mac. - Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja masa untuk kita meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, malahan ia juga kesempatan terbaik bagi ibu bapa menanam dan memupuk nilai hormat-menghormati dalam diri anak-anak.
Nilai tersebut merupakan tunjang utama dalam kehidupan seharian masyarakat di negara ini dan perlu diteruskan daripada satu generasi ke generasi berikutnya.
Antaranya dengan mendidik anak-anak membantu membuat persiapan menjelang Aidilfitri seperti membersihkan rumah, menghias ruang tamu, dan menyediakan juadah.
Melibatkan anak-anak dalam aktiviti sebegini secara tidak langsung mengajar mereka mengenai tanggungjawab, kerjasama dan menghormati tetamu yang akan berkunjung ke rumah semasa Aidilfitri.
Selain itu, amalan memberi salam dan memohon maaf antara satu sama lain terutama ibu bapa dan ahli keluarga merupakan aspek penting dalam mendidik anak-anak semasa Hari Raya Aidilfitri.
Apabila anak-anak dibiasakan dengan amalan tersebut sejak kecil lagi, mereka akan lebih mudah mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat sekeliling serta memahami nilai budi pekerti yang tinggi.
Ibu bapa juga dapat mendidik anak-anak dengan melibatkan mereka dalam memberi duit raya dan mengucapkan selamat hari raya kepada para tetamu yang datang berkunjung.
Aktiviti berkenaan mengajar anak-anak memberi dengan penuh sopan, memupuk empati serta menanamkan rasa tanggungjawab sosial, selain membentuk keyakinan diri mereka dalam berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.
Peranan ibu bapa amat penting dalam menanam nilai-nilai tersebut kerana anak-anak cenderung meniru apa yang mereka lihat dan alami.
Oleh itu, apabila ibu bapa sendiri menunjukkan sikap sopan, menghormati orang tua dan mengamalkan adat serta tradisi semasa Hari Raya, anak-anak akan mencontohi tingkah laku tersebut.
Ini memastikan tradisi hormat-menghormati terus terpelihara dan diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya.
Melalui bimbingan berterusan dan contoh teladan daripada ibu bapa, anak-anak bukan sahaja menyambut Hari Raya dengan penuh kegembiraan tetapi turut mengekalkan adat dan budi pekerti masyarakat Melayu Islam.
Nilai-nilai murni berkenaan menjadi asas dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia, di samping memastikan tradisi kunjung-mengunjungi serta hormat-menghormati terus hidup dan menjadi identiti yang diwarisi generasi demi generasi.